KUANTAN – Mahkamah Majistret di sini hari ini, memerintahkan dua peniaga masing-masing menjalani hukuman penjara sehari dan membayar denda, selepas mengaku bersalah memiliki rokok seludup.
Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali memerintahkan Nasri Mat Ali, 48, menjelaskan denda RM26,760 atau dipenjara empat bulan jika gagal manakala Chen Sheau Leng, 37, didenda RM1,319.20 dan dijatuhi hukuman penjara sebulan, jika gagal berbuat demikian.
Nasri mengaku bersalah memiliki 1,670 paket rokok pelbagai jenama bernilai RM2,676 yang merupakan barang dilarang import di rumahnya di PTK155, Kampung Kurnia, Jalan Gambang di sini pada pukul 3.40 petang, 30 Mei 2013.
Bagi kesalahan itu, Nasri didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1957 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Chen mengaku bersalah memiliki 82 paket pelbagai rokok bernilai RM131.92 yang disorokkan di bawah kaunter dan dalam premis di Jalan IM3/12, Bandar Indera Mahkota di sini pada 11.35 pagi, 5 April lepas.
Terdahulu semasa rayuan, peguam Mohd Hameezy Mokhtar memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap Nasri atas alasan anak guamnya itu telah insaf dan membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja dihadapkan ke mahkamah.
“Sekarang tertuduh tidak lagi berniaga sebaliknya mengusahakan kebun tebu secara kecil-kecilan dengan pendapatan RM1,000 sebulan bagi menampung seorang isteri, empat anak dan ibu mertua,” katanya.
Sementara itu Chen, yang tidak diwakili peguam, merayu agar mahkamah tidak menjatuhi hukuman penjara, sebaliknya mengenakan hukuman denda minimum kerana menanggung dua anak.
Pegawai Pendakwa dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia Nurhafizah Ahmad pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam kerana kesalahan menyeludup rokok menyebabkan negara mengalami kerugian.
Kedua-dua tertuduh menjelaskan denda berkenaan. – BERNAMA