JOHOR BAHARU – Dua rakan sekerja maut dalam kemalangan selepas motosikal yang mereka naiki gagal mengelak sebuah kereta di Jalan Kluang, Parit Besar dekat Batu Pahat, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Din Ahmad berkata kejadian pada pukul 6.45 pagi itu menyebabkan Yasmin Mahmor,46, dan rakannya Sapura Ibrahim,57, maut di tempat kejadian manakala pemandu kereta itu pula cedera dan masih mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.
Din berkata, ketika kejadian berlaku, kedua wanita terbabit dilaporkan sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.
Namun, tiba di tempat kejadian, Yasmin yang menunggang motosikal itu dikatakan tidak sempat mengelak kereta Perodua Myvi terbabit yang secara tiba-tiba masuk ke laluan mereka lalu menyebabkan pelanggaran.
“Akibat daripada pelanggaran itu, Yasmin dan Sapura masing-masing tercampak di atas dan tepi jalan menghala ke Parit Besar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Din berkata keadaan jalan adalah gelap ketika kemalangan berlaku dan pihaknya masih menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA