PROGRAM Maharaja Lawak Mega 2016 yang menampilkan Ziana Zain sebagai juri tetap baru-baru ini, berdepan kritikan segelintir penonton yang menyifatkan penyanyi itu berat sebelah dalam memberikan komen kepada peserta selepas mereka membuat persembahan.
Mengulas isu itu, Ziana Zain menafikannya dan menjelaskan bahawa dia hanya memberikan contoh supaya para peserta terus berusaha.
“Saya selalu menyebut kumpulan seperti Bocey atau Joras sebagai contoh untuk memberikan semangat kepada mereka agar terus berusaha. Tiada istilah favoritism kerana peserta perlu menerima setiap teguran untuk dijadikan cabaran.
“Saya beri contoh yang paling dekat untuk mereka belajar dan lihat bagaimana sesetengah kumpulan boleh tampil dengan idea dan persembahan yang makin lama makin bagus.
“Saya ambil contoh yang terdekat supaya mudah untuk mereka jadikan rujukan bagi menaikkan mutu persembahan akan datang,” katanya.
Ziana berkata, dia juga berharap setiap peserta dapat menerima teguran yang diberikan dengan terbuka dan profesional kerana ia bertujuan untuk mereka memperbaiki persembahan.
Menurutnya, untuk menjadi yang terbaik peserta harus tabah menghadapi semua kritikan yang diberikan. – MYNEWSHUB.CC