DUTA Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Singapura, Dr Aref Ali Nayed berkata masyarakat islam di Asia Tenggara perlu menerima tradisi kebudayaan mereka yang sedia ada dan tidak berusaha untuk mengambil budaya Arab.
“Saya rasa sudah tiba masanya untuk Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura menghargai tradisi mereka yang telah diajar dari kecil sejak beberapa abad,” kata Dr Nayed, yang juga merupakan pengasas dan pengarah Kalam Research and Media.
Melalui satu wawancara dengan Channel NewsAsia Conversation 28 Mac lalu, Dr Nayed turut mempersoalkan mengapa orang Melayu perlu menukar cara berpakaian dan bercakap semata-mata untuk membuktikan dia lebih Islam dari yang lain?
Dr Nayed yang tersenarai antara 50 Muslim paling berpengaruh di dunia, mengeluarkan kenyataan berkaitan ‘pengaraban’ Islam dan amalan-amalan kebudayaan di Asia yang menimbulkan kontroversi.
Dr Nayed menegaskan, seseorang itu tidak perlu menjadi Arab untuk membuktikan dirinya seorang Muslim yang baik dan memberi amaran terhadap sikap menerima ajaran agama daripada ahli teologi Arab secara membuta tuli.
Beliau turut menggalakkan para cendekiawan Islam Asia Tenggara supaya “jangan sekadar hargai ilmu yang mereka ada, malah mengembangkannya kepada generasi akan datang”.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sebelum ini turut bertitah menggesa masyarakat Melayu supaya tidak meminggirkan warisan adat budaya yang unik kerana mahu mengikut budaya Arab.
Sultan Johor Tegur Melayu Jadi Arab Tolak Adat Melayu
Antaranya termasuk menggunakan perkataan Eid al-Fitr bagi menggantikan Hari Raya dan iftar untuk istilah buka puasa. – MYNEWSHUB.CC