KES kehilangan telefon pintar boleh dikatakan insiden yang acap kali didengar pada hari ini.
Sama ada disebabkan kecuaian diri ataupun dicuri, kehilangan telefon memberi seribu satu masalah kepada pemiliknya malah kebiasaannya telefon bimbit yang hilang akan lesap begitu sahaja.
Salah seorang pengguna Facebook, Muhammad Firdaus berkongsi kisah kehilangan telefon pintar miliknya yang dipercayai tercicir sewaktu berada di dalam panggung wayang.
Menurutnya, mujurlah dia telah memasang satu aplikasi khusus bagi menjejak semula telefon yang hilang.
Aplikasi yang dikenali sebagai LockWatch ini akan mengambil gambar secara automatik sekiranya si ‘pencuri’ memasukkan kod keselamatan yang salah sewaktu ingin membuka telefon pintar milik orang lain.
Menurut Firdaus selepas melihat semula emel yang diterima daripada aplikasi tersebut, dia terkejut apabila mendapati ‘pencuri’ yang mengambil telefon pintarnya itu merupakan satu keluarga berbangsa Melayu.
Dia pada mulanya tidak ingin bersangka buruk kepada keluarga berkenaan namun setelah berkali-kali cuba menghubungi telefon bimbitnya itu namun panggilan yang dibuat sering ditolak dan tidak dijawab, dia membuat keputusan menyebarkan gambar keluarga berkenaan di laman sosial miliknya.
Jom ikuti luahan saudara Muhammad Firdaus berkenaan kekesalannya terhadap sikap yang ditunjukkan keluarga berkenaan.
“Aku hilang handphone semalam. Rasanya tercicir di dalam kedai movie 6D. Kelebihan apps ‘LockWatch’ ini ialah, bila orang itu tersilap enter lock pattern, pelepap dia rakam gambar si pencuri.
“Gambar itu nak maklumkan pada anda bahawa itulah pencurinya. Malulah, Melayu sesama Melayu, macam mana Melayu nak maju? Sikap seperti ini berleluasa dalam diri.
“Semoga berjaya buka HTC saya itu ye. Mohon viralkan , kita tidak mahu Melayu seperti itu wujud di Malaysia.
“Nak bersangka baik pun kena tengok situasi juga. Saya sudah cuba call hampir 30 kali, namun tidak dijawab. Bila cuba buat panggilan video call, dia declined.
“Handphone pun kejap on, kejap off. Dalam keadaan seperti ini, takkan masih nak kata, ‘Mungkin dia try nak buka handphone kau untuk cari owner kot?’ Tengok gambar pun dah ada dalam kereta ini. Banyak lagi gambar yang aku dapat, cuma ini saja yang aku sertakan,” katanya.
Posting daripada Muhammad Firdaus itu kini tersebar selepas mendapat lebih 4,000 perkongsian di laman sosial. – MYNEWSHUB.CC