SUSULAN tersebar video memaparkan seorang anggota polis memukul wanita dipercayai isterinya di Balai Polis Felda Redong, Segamat, pihak polis hari ini memberitahu anggota terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kami Bin Sukarni memberitahu satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tenang Segamat dan sehubungan itu, anggota yang terlibat telah ditangkap untuk siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumahtangga 1994.
BACA: Video: Kejam… Polis Halau, Pukul Isteri Baru Mula Pantang
Siasatan lanjut masih diteruskan dan beliau memaklumkan bahawa anggota berkenaan dalam proses ditukarkan serta-merta dari Pondok Polis Felda Redong ke Cawangan Kem Komandan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
Beliau turut memberi peringatan kepada semua pegawai dan anggota bawahan agar tidak bertindak dan melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang termasuk hal-hal peribadi libatkan rumahtangga.
Ini kerana pihak jabatan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan mereka yang didapati melakukan kesalahan tersebut, tidak terkecuali dari tindakan tatatertib dari pasukan polis. – MYNEWSHUB.CC