TIDAK dapat dinafikan, kos pendidikan bukanlah murah. Rata-rata daripada kita perlu menanggung perbelanjaan atau pinjaman sekurang-kurangnya RM30,000 demi segulung ijazah yang menjadi penentu perjalanan karier di masa hadapan.
Bagaimanapun, saban hari kita dihidangkan dengan berita graduan menganggur dan gagal mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian. Jadi persoalannya, apakah pelaburan ribuan ringgit itu berbaloi meskipun tiada jaminan pekerjaan sejurus graduasi?
Oleh itu, bakal-bakal siswa perlulah bijak dan berfikiran jauh dalam memilih program pengajian di universiti agar kelayakan mereka kelak selaras dengan keperluan industri, di samping memberi pulangan yang setimpal (jika tidak lumayan) kepada mereka.
Mari kita baca senarai 10 ijazah yang mempunyai kadar penggajian tertinggi di dunia dan menjaminkan pekerjaan selepas tamat universiti:
1. Perubatan dan Pergigian (94.7% Kadar Penggajian)
Dengan kos pengajian termahal iaitu sekurang-kurangnya RM100,000 selama 4 tahun, bidang perubatan dan pergigian menjanjikan peluang pekerjaan hampir 95% selepas tamat tempoh pembelajaran.
Prospek kerjaya: Doktor, pakar bedah dan doktor gigi.
2. Sains Veterinar (85.3%)
Tempat kedua pula adalah bidang rawatan kesihatan haiwan. Walaupun sebelum ini bidang sains veterinar banyak mencetuskan debat dan kontroversi lebih-lebih lagi isu yang melibatkan doktor Muslim dan haiwan yang perlu disamak setelah disentuh, namun kesedaran yang semakin meningkat terhadap nilai kasih sayang kepada haiwan menaikkan populariti program pengajian ini.
Prospek kerjaya: Doktor haiwan, pakar biologi haiwan dan penyelidik syarikat farmaseutikal haiwan.
3. Subjek berkaitan perubatan (79.8%)
Pengajian yang merangkumi pengajian kesihatan fizikal secara holistik ini tertumpu kepada satu-satu cabang dalam bidang perubatan.
Prospek kerjaya: Pakar psikologi, ahli fisioterapi dan pakar anaestetik.
4. Seni bina, pembinaan dan perancangan (71.3%)
Kursus ini unik kerana menggabungkan kedua-dua bidang ilmu sains dan kemanusiaan. Malah bidang ini memberi sumbangan terus ke arah pembentukan persekitaran manusia seprti pembinaan bangunan dan perancangan sesebuah penempatan.
Prospek kerjaya: Arkitek, pelukis pelan dan perancang bandar.
5. Kejuruteraan dan teknologi (62.8%)
Secara umumnya, bidang ini ada banyak persamaan dengan kursus #4. Ini kerana, ahli teknologi kejuruteraan sering bertanggungjawab bagi reka bentuk dan pembangunan. Graduan teknologi kejuruteraan boleh bekerja di bidang besar seperti industri, termasuk pembuatan, pembinaan, perindustrian, penyelenggaraan, dan pengurusan.
Prospek kerjaya:  Pereka bentuk produk, pembangunan sistem, jurutera, operasi teknikal dan kawalan kualiti.
6. Sains komputer (59.1%)
Sains komputer secara umumnya adalah pengkajian perhitungan dan pemprosesan maklumat, sama ada dari segi perkakasan mahupun perisian, sesuai dengan peredaran zaman yang semakin berteknologi tinggi.
Prospek kerjaya: Pengaturcara, eksekutif IT, perekabentuk grafik, multimedia dan animasi dan jurtera rangkaian.
7. Pendidikan (59.1%)
Ijazah ini sesuai untuk mereka yang berminat dalam bidang psikologi dan sosiologi pendidikan manusia. Selain itu, kursus ini turut mempertingkatkan kesedaran tentang peranan perkembangan kognitif, fizikal, emosi, kreativiti, bahasa dan estetika manusia.
Prospek kerjaya: Guru, pembantu penyelidik bagi badan bukan kerajaan, tutor peribadi.
8. Pengajian perniagaan (49%)
Kursus yang menyediakan penuntut dengan kemahiran pentadbiran, pengurusan sumber manusia, perakaunan, kewangan, pemasaran, insurans, perbankan dan juga keusahawanan.
Prospek kerjaya: Penolong pegawai pelaburan, penolong pegawai operasi, usahawan dan agen insurans.
9. Sains matematik (47.1%)
Bidang ini berkaitan dengan matematik dan statistik serta memupuk kebolehan untuk menggunakan teknik dan kaedah kuantitatif yang bersesuaian untuk menjalankan analisis, penyelidikan, ramalan dan perancangan dalam persekitaran industri.
Prospek kerjaya: Penyelidik statistik, eksekutif kawalan mutu, penganalisa perniagaan dan eksekutif bank.
10. Pengajian sosial (44.9%)
Satu bidang atau disiplin ilmu yang mengkaji struktur dan sifat-sifat kelompok manusia. Jangan tak tahu, bidang ini sebenarnya merangkumi cabang-cabang ilmu yang luas seperi geografi, ekonomi, sains politik dan sosiologi.
Prospek kerjaya: Pakar kriminologi, penjaga arkib sejarah, penganalisa pemasaran dan pensyarah.
- MYNEWSHUB.CC
Acca, kerajaan memang nak sangat capai target 60,000 orang akauntan bertauliah by 2020
Ijazah Kejuruteraan Mekanikal boleh ke memohon kerja di bahagian Perhotelan?!