SIBU – Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem hari ini berkata ada dalam kalangan masyarakat Cina di negeri ini sudah beralih sokongan kepada Barisan Nasional (BN) negeri.
Adenan, yang juga pengerusi BN Sarawak berkata, bagaimanapun, persoalan yang timbul sekarang adalah sama ada jumlahnya mencukupi bagi meraih undi untuk kemenangan BN pada pilihan raya negeri ke-11 akan datang.
“Sudah ada dalam kalangan masyarakat Cina yang kini beralih sokongan kepada BN. Persoalannya bukan sama ada adakah ada (yang menyokong BN)… sudah pasti ada.
“Tetapi sama ada jumlahnya mencukupi untuk mencuri undi bagi BN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan warga kerja KTS Group of Companies di sini hari ini.
Katanya BN perlu berkempen lebih giat untuk memperoleh lebih banyak undi daripada masyarakat Cina untuk memastikan kejayaan.
Ditanya berapa banyak daripada 16 kerusi yang pengundinya majoriti kaum Cina akan dapat dimenangi BN, Ketua Menteri Sarawak itu berkata: “Beberapa … anda tahu apa maksud beberapa itu. Ia bukan bermakna satu atau duaâ€Â.
Mengenai bila beliau akan mengumumkan calon langsung BN yang berpotensi daripada Parti Rakyat Bersatu (UPP), selepas beliau mengumumkan calon yang pertama Datuk Dr Jerip Susil yang akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Mambong, Adenan berkata beliau akan berbuat demikian bila tiba masanya.
“Perlu ada pengagihan yang adil. Seorang sudah baik tetapi belum cukup baik. Tetapi saya tidak boleh terlalu cerewet mengenainya (sekarang). Masanya akan tiba untuk saya mengumumkannya,†katanya.
Menurutnya, beliau akan mengumumkan calon bagi DUN Dudong, Bawang Assan dan Meradong sebelum hari penamaan calon.
Mengenai sama ada pengiktirafan sijil peperiksaan ‘Unified Examination Certificate‘ ditawarkan oleh sekolah Cina persendirian akan membawa kepada pemansuhan hak istimewa Bumiputera oleh kerajaan negeri, Ketua Menteri berkata kerajaan tidak berhasrat untuk berbuat demikian kerana ia termaktub dalam perlembagaan negara.
Kira-kira 8,000 warga kerja KTS Group di seluruh negeri menghadiri perhimpunan itu termasuk Pengarah Urusannya, Datuk Henry Lau Lee Kong.
Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh. – BERNAMA