SHAH ALAM – Juara dunia lima kali, Lin Dan tersingkir pada saingan suku akhir Terbuka Malaysia Celcom Axiata di tangan pemain Denmark, Jan O Jorgensen 17-21, 4-21 di Stadium Malawati Shah Alam, sebentar tadi.
Lin Dan mendakwa kekalahannya itu berpunca daripada sifat berat sebelah oleh pengadil servis pertandingan.
Bintang sensasi China itu mendakwa Jorgensen banyak kali melakukan kesalahan servis tetapi pengadil terbabit tidak mengenakan sebarang tindakan sebaliknya dia menjadi mangsa biarpun hanya sekali melakukan kesalahan.
“Jorgensen banyak kali melakukan kesalahan servis di set pertama dan kedua tetapi tiada apa-apa tindakan.
“Saya baru sekali melakukan kesalahan ketika detik penting tetapi pengadil servis berjaya pula mengesannya. “Ini tidak sepatutnya berlaku.
Layanan pengadil servis untuk pemain Asia dan Eropah berbeza,” kata Lin Dan sejurus tamat perlawanan dan dia agak berang dengan keputusan itu.
Kekalahan itu menyaksikan harapan peminat badminton untuk melihat Lin Dan bertemu Datuk Lee Chong Wei di separuh akhir tidak kesampaian.
Chong Wei akan turun untuk aksi suku akhir menentang Viktor Axelsen dari Denmark lebih kurang jam 8 malam ini bagi perebutan slot ke separuh akhir dan pemenang akan bertemu Jorgensen esok.
“Mungkin kali ini tiada peluang untuk saya bertemu Chong Wei tetapi ada banyak lagi kejohanan selepas ini dan mungkin kami akan bertemu nanti,” kata Lin Dan. – BHarian Online