LAGI kejadian ‘pelik’ berlaku di China…
Seorang penumpang wanita berusia 50 tahun bertindak membuka pintu kecemasan pesawat secara tidak sengaja kerana disangkakan itu adalah pintu tandas hingga  mencetuskan huru hara dalam pesawat.
Kejadian itu menyebabkan China Southern Airlines penerbangan CZ3456 dari Chongqing ke Shenzeng di tangguhkan beberapa jam baru-baru ini, lapor portal Shanghaiist.
Menurut rentetan kejadian, setelah semua penumpang menaiki pesawat itu dan bersedia untuk berlepas,  tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi bising dan mendapati tangga kecemasan telah dibuka.
Situasi berkenaan mencetuskan rasa panik dalam kalangan penumpang pesawat tersebut.
Tindakan warga emas yang baharu pertama kali menaiki pesawat itu telah disedari oleh salah seorang daripada kru yang bertugas yang kemudian membawa kesemua penumpang keluar dari pesawat terbabit.
Berikutan kejadian itu, warga emas berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut dan pas pelepasan serta pasportnya telah dirampas.
Siri kejadian seperti ini bukanlah yang pertama kali berlaku di China. Dalam kejadian yang lebih kurang sama, seorang penumpang mencetuskan ketakutan dalam kalangan penumpang lain apabila tiba-tiba membuka pintu kecemasan pesawat dengan alasan, mahu menghirup udara segar.-MYNEWSHUB.CC