SEORANG mahasiswi perubatan yang membayangkan dirinya cukup bijak namun terbeban dengan biaya pelajaran dan mengharapkan semua benda diberikan secara percuma oleh kerajaan negara ini, disekolahkan secara lembut tetapi ‘makan dalam’ oleh penceramah antarabangsa, Dr. Zakir Naik.
Soalan yang dicetuskan siswi tersebut, turut mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial kerana ia dilihat tidak dikaji secara mendalam sebelum dilontarkan kepada pendakwah antarabangsa tersebut.
“Mengapa kerajaan tidak menghargai pelajar perubatan seperti saya yang mungkin akan menemui penawar penyakit kanser?
“Kerajaan mengenakan caj pengajian yang tinggi sehingga memaksa pelajar seperti saya berhutang dan menanggung riba,” soal siswi berkenaan dalam forum yang diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu semalam.

Dr. Zakir setelah mendengar soalan itu, terus mengembalikan semula pertanyaan kepadanya:
“Berapa yuran pengajian doktor di Malaysia?” lalu dijawab pelajar bijak yang akan menemui rawatan kanser, “Lebih kurang RM3,600 setahun.”
Terkejut dengan kos yang dinyatakan, berikut penjelasan pendakwah  itu kepada pelajar berkenaan:
“Kos pengajian perubatan di kebanyakan negara mencecah US$100,000. Kira baik kerajaan memberi subsidi yang banyak untuk belajar perubatan. Lagipun Malaysia ada pinjaman tanpa faedah, kenapa pergi buat pinjaman yang mengamalkan riba?
“Itu adalah salah awak sendiri. Di Malaysia ada Pusat Zakat dan Baitulmal. Kalau tidak mampu, boleh mohon bantuan dari dua pusat berkenaan,” ujar Dr. Zakir yang cukup dikenali dengan kepintarannya berhujah menggunakan fakta.
Dr. Zakir menambah, beliau sanggup membiayai pengajian pelajar terbabit dan rakan-rakannya namun jangan disalahkan kerajaan Malaysia.
Untuk makluman, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan kepada semua pelajar tawaran biasiswa sekiranya mereka berkelayakan namun terdapat pelajar yang menolak atas alasan tidak mahu terikat kontrak bekerja dengan kerajaan, dan itu semestinya pilihan mereka sendiri. – MYNEWSHUB.CC