SEBUAH kereta milik seorang penyokong PKR rentung dibakar dua penunggang motosikal tidak dikenali dalam kejadian yang berlaku di hadapan rumahnya di Jalan Penghulu Abu Bakar, Klang.
Difahamkan, mangsa turut dibelasah teruk oleh kumpulan lelaki berkenaan yang kemudian mengugutnya kerana terlibat dengan penyiaran satu laporan berita mengenai wakil rakyat PKR Seri Andalas, Klang, Xavier Jayakumar.
Mangsa kemudiannya membuat laporan polis selepas berjaya melarikan diri.
Susulan itu Setiausaha PKR cawangan Kelana Jaya, S. Murali memberitahu dalang perbuatan khianat tersebut disyaki  puak penyokong Xavier.
“Semalam lebih kurang pukul tiga pagi, kenderaan pengadu yang membuat laporan polis berkenaan kes Xavier, telah dibakar di hadapan rumahnya.
“Kenderaan jenis Proton Satria itu dibakar dan kami syak dalang perbuatan ini adalah penyokong Xavier,” katanya.
Murali berharap siasatan segera diambil ke atas ADUN Seri Andalas berikutan kes vandalisme yang berlaku.
“ADUN tak ADUN, undang-undang perlulah kepada semua,” tegasnya.
Difahamkan mangsa yang mengalami beberapa kecederaan kini menjalani rawatan di sebuah hospital. – MYNEWSHUB.CC