KUDAT – Sebuah jentera bomba terhumban ke dalam sungai selepas jambatan kayu yang mereka lalui di Kampung Korina, dekat sini, roboh.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Khairul Azuan Ibrahim berkata dalam kejadian pukul 2 petang itu, anggota bomba berkenaan dalam perjalanan untuk memadamkan kebakaran hutan di kawasan perkampungan Korina.
Bagaimanapun, katanya, ketika melalui jambatan itu, ia roboh menyebabkan jentera bomba turut terhumban ke dalam sungai.
“Mujur kesemua tujuh anggota yang berada dalam jentera berkenaan terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Inilah antara risiko dihadapi anggota bomba dan penyelamat dalam menjalankan tugas,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini. – BERNAMA