TIGA buah restoran di Guangzhou terpaksa `memecat’ semua robot mereka yang dijadikan sebagai pelayan disebabkan robot berkenaan tidak cekap hingga mengakibatkan pemiliknya mengalami kerugian.
Malah dua buah restoran telah ditutup sepenuhnya selepas mendapati pelayan robot itu cemerkap dan tidak mampu melakukan tugas dengan sempurna walaupun tugas yang mudah.
Ia termasuk gagal menerima arahan dan menumpahkan sup serta minuman.
Selain itu robot berkenaan juga asyik rosak hingga memaksa pemilik restoran membuang robot itu.
“Kemahiran robot itu adalah terhad serta terkial-kial ketika berurusan dengan pelanggan,’’ kata penyelia salah satu restoran terbabit.
Pelayan robot itu diperkenalkan sebagai revolusi dalam industri perkhidmatan namun dengan rungutan yang diterima itu, ia menunjukkan penggunaan robot ketika ini dilihat masih terlalu awal dan tidak kena pada masanya. – MYNEWSHUB.CC