PENYANYI yang melonjak naik dengan lagu Teringin, Luka Dilukai dan beberapa lagi pada awal 1990-an, Shima, 47; menyifatkan artis-artis zaman sekarang lebih beruntung.
Ini kerana penyanyi generasi moden kini lahir pada zaman teknologi yang berbeza dengan artis yang seangkatan dengannya dahulu.
Menurut penyanyi itu, artis zaman sekarang tidak perlu bersusah payah mendekati para peminat dengan adanya teknologi canggih seperti media sosial.
Segalanya hanya dimuat naik melalui laman sosial tersebut dan terus diterima atau diketahui peminat tentang perkembangan terbaharu seseorang artis itu.
Shima atau Ku Nazhatul Shima Ku Kamaruzzaman, lebih gemar dan selesa menggunakan cara lama untuk mendekati para peminatnya iaitu bersemuka secara terus menerusi persembahan pentas berbanding alam maya.
“Tiada istilah cemburu atau sebaliknya, cuma saya lihat artis-artis sekarang cukup beruntung kerana begitu mudah buat promosi sendiri dan berkomunikasi dengan para peminat tanpa mengira waktu menerusi media sosial berbanding artis zaman saya yang dilihat agak sukar untuk melakukan semua itu.”
Namun dia tidak menafikan impak yang diberi oleh media sosial dalam aspek promosi dan hubungan dengan media dalam mempromosikan seseorang artis itu.
“Bagaimanapun, saya akui lebih puas dan selesa dengan cara lama iaitu berdamping dengan pihak media dari aspek urusan promosi dan mendekati peminat secara berhadapan menerusi persembahan pentas,†jelasnya kepada mStar Online.
Shima hanya menggunakan laman Facebook untuk berhubung dengan peminatnya kerana tidak mempunyai kepakaran menggunakan aplikasi lain yang terdapat di telefon pintar.
“Saya tidak ada Instagram, Twitter, blog atau yang seumpamanya buat masa ini selain Facebook dengan akaun fanpage ‘Shima’. Jujur, saya memang tidak tahu menggunakan aplikasi tersebut di telefon.
“Lagi pula tiada siapa yang nak ajar. Itu antara sebab kenapa saya tidak menggunakan telefon yang canggih. Cukup sekadar yang ada sahaja,†akuinya jujur kepada portal tersebut. – MYNEWSHUB.CC