SUSULAN ‘serangan’ kontroversi Prof. Dr. P. Ramasamy, penganjur forum penceramah antarabangsa Dr. Zakir Naik menjemput Timbalan Menteri Pulau Pinang itu dan isterinya bagi menghadiri ceramah yang akan diadakan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Pihak jurucakap penganjur, Firdaus Wong Wai Hung memberitahu bahawa mereka sendiri sedia menaja tiket penerbangan untuk Timbalan Setiausaha Agung DAP itu, sekiranya beliau sudi menerima pelawaan mereka.
“Kami ingin jemput beliau untuk hadir ke ceramah Dr. Zakir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebagai tetamu VIP kami, malahan tidak keberatan menaja tiket penerbangan pergi balik untuk Prof. Dr. Ramasamy dan isterinya,†katanya seperti yang dilaporkan portal Free Malaysian Today.
Sementara itu, mengulas permohonan maaf Ramasamy yang menggelar pendakwah dari India itu sebagai ‘syaitan’, Firdaus memberitahu pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima permohonan maaf tersebut.
“Kami sebagai Muslim tiada masalah langsung pun untuk menerima permohonan maaf daripada Prof. Dr. Ramasamy, kerana menggelarkan Dr. Zakir sebagai ‘syaitan’.
“Cuma apa yang ingin kami cadangkan adalah agar setiap wakil rakyat, tidak kira daripada mana-mana parti, seharusnya lebih bijak dalam memilih perkataan untuk disebut mahupun ditulis,†katanya.
Terdahulu, Ramasamy yang juga wakil rakyat Perai menjelaskan bahawa beliau telah memadam coretan Facebook pada Ahad lepas selepas menyedari perkataan ‘syaitan’ ditulisnya itu sebagai tidak sesuai dan dikutuk netizen.
Namun, dalam pada itu juga Ramasamy memberitahu perkataan (syaitan) itu hanya ditujukan kepada Dr. Zakir sahaja, yang mana seolah-olah membawa maksud permohonan maafnya itu seakan tidak telus. – MYNEWSHUB.CC