PETALING JAYA – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyatakan kesediaan untuk berbahas dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung kemerosotan prestasi skuad Harimau Malaysia sejak kebelakangan ini.
Tanpa mendedahkan tarikh dan tempat debat berkenaan, Khairy berkata beliau sanggup berdebat dengan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim itu sekiranya ia dapat meningkatkan semula prestasi skuad kebangsaan yang mendapat kritikan hebat daripada peminat bola sepak selepas jatuh dalam ranking ke-174 dunia, kedudukan terendah dalam ranking FIFA yang diperkenalkan pada Dis 1992.
“Ya, saya bersetuju. Ini satu perkara yang baik untuk (pasukan) bola sepak (kita).
“Nanti orang kata tak nak bersemuka lah, apalah…,” kata Khairy pada sidang media sebelum menghadiri majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2015 di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Pada Selasa, Tunku Ismail menerusi laman Facebook rasmi JDT, The Southern Tigers, dilaporkan mahu berdebat dengan Khairy dan wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mencari punca dan juga penyelesaian kepada kemerosotan prestasi skuad kebangsaan.
Baginda pada masa sama mahu dilaporkan sebagai berkata mahu perdebatan itu melibatkan para penyokong yang dibenarkan menyuarakan pendapat masing-masing dan menanyakan sebarang soalan yang dikehendaki.
Ia susulan kenyataan Khairy sebelum ini yang mendakwa bahawa pemain bola sepak tempatan kurang berkualiti.
Dalam pada itu, Khairy menegaskan isu pemberian wang tunai yang dikatakan tidak setimpal kepada pemenang Siri Kejohanan Keiterium Berbasikal Remaja Malaysia (JCM) yang menjadi viral di laman sosial, hari ini tidak perlu diperbesarkan.
Beliau menjelaskan insentif berkenaan merupakan sebahagian daripada penghargaan Kementerian Belia dan Sukan terhadap pemenang kejohanan tersebut terutamanya dalam kalangan peserta muda seperti pelajar sekolah.
Mengambil contoh di Australia, Khairy menjelaskan pemenang kejohanan di peringkat umur kanak-kanak umpamanya hanya menerima pingat dan sijil penyertaan dan bukannya dalam bentuk wang tunai.
“Kita nak memupuk semangat perjuangan dalam sukan. Yang penting bukan wang ringgit yang kita hendak menang,” jelas Khairy.
Kejohanan JCM yang berlangsung pada 9 April lepas di MAEPS, Serdang bertujuan mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan berbasikal. – BERNAMA