PORT DICKSON – Kerajaan akan berganding bahu dengan negara lain bagi menyekat kegiatan memburu secara haram dan menyeludup hidupan liar yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sebagai satu daripada negara mega kepelbagaian di dunia dan tempat kediaman gajah Asia, Malaysia memahami sepenuhnya nilai spesies gajah Afrika ikonik ini.
Katanya Malaysia menyokong usaha memerangi pemerdagangan hidupan liar, terutama perniagaan gading.
“Dunia sedang mengalami kehilangan semakin banyak gajah, sekali gus mengancam masa depan gajah di seluruh benua ini.
“Menurut Konvensyen Perdagangan Spesies Fauna dan Flora Liar Antarabangsa(CITES), lebih 20,000 gajah mungkin menjadi mangsa pemburu haram di seluruh Afrika pada 2013,” katanya ketika merasmikan upacara memusnahkan gading yang dirampas di Bukit Pelandok di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian itu, Datuk Seri Azizan Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) Datuk Sr Dr Azimuddin Bahari; Ketua Pegawai Eksekutif Cenviro Sdn Bhd Khalid Bahsoon dan Timbalan Ketua Pengarah 1 Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Pemuliharaan) Abdul Kadir Abu Hashim.
Wan Junaidi berkata Malaysia mengambil bahagian secara aktif dalam kerjasama penguatkuasaan di peringkat serantau dan antarabangsa.
Menurut beliau, Malaysia berjaya merampas lebih 4,000 gading dan pelbagai spesies hidupan liar melalui usaha terselaras rangkaian penguatkuasaan antarabangsa dan hasil daripada maklumat orang ramai.
“Keputusan analisis forensik menunjukkan bahawa gading berkenaan berasal dari Gabon, Republik Demokratik Conggo, Republik Afrika Tengah, Ghana, Tanzania, Mozambique, Zambia, Uganda, Kenya dan Sudan Selatan.
“Bagaimanapun, berbeza dengan negara yang dikenal pasti menjadi pusat transit, Malaysia tidak mempunyai pasaran domestik bagi gading atau industri ukiran gading,” katanya.
Pada upacara itu, kira-kira 9.55 tan gading bernilai USD20 juta (RM80 juta) dimusnahkan.
Pada sidang akhbar kemudian, beliau berkata gading itu dirampas pasukan penguatkuasaan di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Pelabuhan Klang dan Butterworth. – BERNAMA