SEPASANG kekasih warga China bertuah apabila memenangi hadiah luar biasa iaitu peluang bermalam bersama ikan jerung di dalam bilik yang direka khas.
Di Tang, 27; bersama pasangannya diterbangkan ke Paris, Perancis setelah memenangi peluang itu anjuran Paris Akuarium serta pengendali ruman percutian dan sewa Airbnb.
Ruang bilik itu bukanlah sebarangan tetapi diletakkan pada kedalaman 10 meter di dalam sebuah akuarium dan menawarkan pemandangan 360 darjah serta dikelilingi oleh 35 ekor ikan jerung.
Peraduan itu ditaja oleh  Paris Akuarium dan rumah percutian dan sewa Airbnb untuk mendidik para pemenang dan tetamu-tetamu mereka tentang spesies haiwan pemangsa yang sering disalah anggap.
Penglaman seumpama ini bukanlah untuk mereka yang lemah semangat atau penakut.
Tang, 27; seorang pelajar sejarah dari Xian, China, menyifatkan pengalaman itu sebagai menakjubkan dan ajaib.
“Saya fikir saya tidak mampu untuk tidur. Saya akan mengambil kesempatan sepanjang malam untuk melihat jerung-jerung itu,” katanya kepada sebuah portal.
Namun begitu, menurut laman Mirror, bukan sebarangan orang boleh melakukan kegiatan itu. Beberapa faktor yang memastikan keselamatan juga diambil kira, seperti berat badan, kesihatan dan usia.
Selain merasai pengalaman bermalam dikelilingi ikan jerung, pemenang turut mendapat beberapa keistimewaan yang lain yang telah dirangka oleh pihak penganjur.
Selepas peraduan itu berakhir, ruang bilik tersebut akan dijadikan pusat pencerapan bagi ahli-ahli biologi dan para saintis yang akan digunakan sebagai tempat untuk memantau kelakuan ikan-ikan jerung. – MYNEWSHUB.CC