KUALA LUMPUR – Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak dilaporkan secara sukarela mengambil cuti, sementara menunggu hasil siasatan bebas terhadap proses dan dasar bank itu selesai, hari ini.
Memetik sumber dalaman institusi kewangan itu The New Straits Times (NST) melaporkan, Nazir membuat pengumuman berkenaan kepada pemegang saham dalam mesyuarat agung tahunan yang diadakan.
Laporan itu turut menyebut bahawa firma audit Ernst & Young telah ditugaskan untuk menyempurnakan siasatan berkenaan isu melibatkan wang bernilai AS7 juta itu.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia Tan Sri Tony Fernandes yang diketahui rapat dengan Nazir turut memberitahu tindakan bercuti yang diambil oleh tokoh perbankan itu.
Menerusi laman sosial bergambar Instagram Tony memuatnaik gambar AGM Kumpulan CIMB ke-59 beserta kapsyen, “Kelas tindakan Pengerusi CIMB Nazir Razak. Secara sukarela mengambil cuti mulai hari ini bagi membolehkan siasatan bebas berhubung pemindahan 7 juta. Demi manfaat tadbir urus korporat yang baik dan ketelusan.”
Menurut laporan Reauters, Nazir akan mengadakan sidang akhbar selepas mesyuarat agung itu bagi mengumumkan keputusannya.  – MYNEWSHUB.CC