GARA-GARA ibu bapa bergaduh, anak menjadi mangsa. Kejadian ini berlaku di sebuah pusat beli belah di Rio de Janeiro di mana seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditinggalkan sendirian selepas ibu bapanya bergaduh.
Kejadian berlaku selepas ibu dan bapanya berjalan ke arah bertentangan, meninggalkan kanak-kanak itu di tengah-tengah.
Si bapa menyangka si ibu telah membawa bersama anaknya manakala si ibu pula beranggapan sebaliknya.
Nasib baik seorang lelaki yang melihat kanak-kanak tersebut telah menyerahkannya kepada pengawal keselamatan sebelum membawanya ke balai polis.
Ia mengakibatkan kanak-kanak terbabit terpaksa bermalam di rumah penjagaan kanak-kanak ketika polis sedang mengesan ibunya.
Bapanya bekerja sebagai pelayan di dalam restoran yang terletak di pusat beli belah berkenaan.
Bagaimanapun disebabkan lelaki itu tidak dapat membuktikan bahawa dia adalah bapa kepada kanak-kanak tersebut maka dia tidak dapat membawa anaknya pulang.
Menurut jurucakap polis, lelaki itu mendakwa dia telah bertengkar dengan wanita berkenaan sebelum pergi kerja.
“Lelaki itu menyangka anaknya berada bersama wanita terbabit dan dia juga tidak memandang ke belakang sebelah beredar dari tempat di mana dia dan wanita tersebut bergaduh,” katanya.
Kes itu kini dalam siasatan polis. – MYNEWSHUB.CC