KUALA LUMPUR – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), berhasrat bekerjasama dengan negara luar bagi memecahkan monopoli syarikat pemegang kuota beras tertinggi negara, BERNAS supaya lebih adil dan saksama.
Presiden ANGKASA, YBhg. Datuk Aji Abdul Fattah Haji Abdullah berkata, BERNAS merupakan pemegang kuota beras tertinggi negara dan kesemua proses import, eksport serta pengedaran beras dimonopoli oleh syarikat tersebut.
“Sekarang, semua urusan berkaitan beras dimonopoli oleh BERNAS. Untuk memastikan pengagihan kekayaan berlaku dengan lebih adil, kita cadangkan ada satu atau lebih lagi sektor koperasi yang boleh melakukan proses import dan eksport beras.”
“Kami juga berharap agar perkara ini mendapat  pertimbangan kerajaan. Walaupun kita ada beras lain dan boleh diimpot, tetapi masih perlu menggunakan kuota yang disediakan oleh BERNAS.”
“Sebagai contoh beras keluaran usahawan Bumiputera terkenal Faiza yang terpaksa guna permit daripada pihak BERNAS jika mahu mengeksport beras keluaran mereka sendiri.”
Tambah Abdul Fattah, ANGKASA juga akan berbincang dengan pihak kerajaan supaya diwujudkan beberapa syarikat lain yang akan menjadi pesaing kepada BERNAS dalam isu berkenaan.
Langkah tersebut akan mewujudkan banyak pengagihan kekayaaan sekali gus peluang akan menjadi lebih adil dan saksama kepada pihak yang berkelayakan.
Perkara tersebut dinyatakan beliau kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat di Kedutaan Vietnam di sini dan telah disambut oleh Duta Besar Vietnam ke Malaysia, Pham Cao Pong.
Kunjungan hormat ini diadakan dengan tujuan membincangkan isu-isu dua hala berkenaan peluang perniagaan yang melibatkan koperasi di Vietnam, Malaysia dan juga lapan buah negara ASEAN yang lain.
Menurut Abdul Fattah, perniagaan di Malaysia perlu dikembangkan sejajar dengan matlamat ANGKASA untuk menaikkan taraf dan prestasi Majlis Koperasi Malaysia yang akan membantu menjana ekonomi negara. – MYNEWSHUB.CC