KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sebanyak 111,333 permohonan pendaftaran sebagai pemilih bagi suku tahun 1/2016 iaitu dari Januari hingga Mac lalu.
Setiausahanya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, permohonan terbabit terdiri daripada 88,078 pendaftaran pemilih baru dan 23,255 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi.
“Selaras dengan kehendak Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku tahun 1/2016 akan dipamerkan selama 14 hari mulai 21 April 2016 hingga 4 Mei 2016 di 963 tempat pameran di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Abdul Ghani berkata, sepanjang tempoh pameran berlangsung, pemohon yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baru atau menukar alamat pusat mengundi pada bulan Januari, Februari dan Mac 2016 dinasihatkan menyemak RDPT Suku Tahun 1/2016.
Katanya, bagi permohonan pendaftaran baharu, jika pemohon mendapati namanya tidak tersenarai di dalam RDPT itu, pemohon boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B dan diserahkan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri.
Menurutnya, bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana individu dalam RDPT Suku Tahun 1/2016 boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.
“Semasa tempoh pameran RDPT itu, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih.
“Antara asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada Daftar Pemilih ialah
kerana mereka ini didapati tidak berhak untuk terus kekal di dalam daftar pemilih atas sebab-sebab tertentu antaranya ialah telah meninggal dunia atau lucut hak warganegara,” katanya. – mynewshub.cc