AKTRES genit, Nad Zainal, 26; enggan mengulas lanjut sama ada dia kini hamil tiga bulan setelah melangsungkan perkahwinan dengan Muhammad Faliq Amirudin tahun lalu.
Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin merupakan antara pelakon teater Ombak Rindu: Tiada Penghujung yang sedang berlangsung di Istana Budaya.
“Maaf saya tidak mahu komen mengenai perkara itu. Doakan yang baik-baik saja buat saya dan suami,” katanya ketika dihubungi sebuah akhbar.
Bagaimanapun dia sedikit pun tidak menafikan mahupun mengiyakan berita gembira tersebut, sebaliknya mengucapkan terima kasih dan memohon doa sebaik-baiknya.
Menurut sumber, Nad masih lagi aktif  berlakon meskipun dikatakan sedang hamil.
Pembabitan Nad dalam teater Ombak Rindu meskipun di saat dia mempunyai jadual kerja yang padat adalah kerana penulis skrip teater itu merupakan bekas pensyarahnya.
“Mereka menginginkan pelakon yang mempunyai latar belakang teater dan saya menganggap ia sebagai penghargaan. Antara sebab saya menerimanya kerana penulis skrip pementasan itu bekas pensyarah saya,” ujarnya.
Kini Nad sedang sibuk menjayakan telefilem terbitan Suhan Movies bersama pelakon popular tempatan lain yang dijangka menemui penonton pada Aidilfitri akan datang. – MYNEWSHUB.CC