TAPAH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke pameran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2016 di Stadium Tun Ahmad Sarji di sini hari ini.
Ketibaan baginda berdua pada kira-kira pukul 11.25 pagi disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Baginda berdua meluangkan masa kira-kira sejam melawat gerai-gerai pameran sambil mendengar taklimat ringkas mengenai MSAM 2016 yang disampaikan oleh Hamad Kama Piah.
Selain itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara juga berkenan beramah mesra serta bersalaman dengan pengujung MSAM 2016 yang tidak melepaskan peluang untuk melihat pasangan diraja itu dengan lebih dekat.
MSAM 2016 disertai 50 pempamer dan dimeriahkan dengan pelbagai acara khusus buat pengunjung seperti Jejak Pelabur Bijak Maybank, Jejak Pelabur Cilik I&P, CCM Interschool Showdown, Simposium Usahawan PNB-MIDF, MNRB Ringgit Savvy serta Santai Labur dan Hibur Labur Bersama PNB.
MSAM 2016 yang berlangsung sejak Rabu lepas di Stadium Tun Ahmad Sarji dibuka kepada orang ramai mulai 10 pagi hingga 10 malam kecuali Khamis depan yang tamat pada 2 petang.
Program tahunan anjuran PNB itu merupakan program pendidikan pelaburan bertemakan ‘Pelaburan 360 PNB’ dan sejak dianjurkan pada tahun 2000, MSAM telah menarik lebih tiga juta pengunjung.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka merasmikan majlis penutup MSAM 2016 pada Rabu depan, 27 April dan pada majlis itu beliau akan menyampaikan hadiah kepada pemenang cabutan bertuah berupa sebuah Toyota Vios. – BERNAMA