KUALA LUMPUR – Sekali pandang tidak ada sesiapa menyangka ada sesuatu yang tidak kena dengan kafe di Jalan Cattlaya 11, Pusat Perniagaan Senawang Jaya 2, Seremban ini (gambar) .
Namun, Pengerusi MyWatch, Sri Sanjeevan Ramakrishnan menerusi satu entri di Facebooknya mendakwa premis berkenaan adalah pusat mesin judi haram yang besar di bandar berkenaan.
“Jika dilihat pada papan tanda premis ini, orang ramai akan menyangka ia hanya Kafe Minuman yang biasa kita lihat.
“Tetapi tahukah anda di dalamnya terdapat puluhan mesin judi siber kerana premis ini sebenarnya adalah premis judi haram yang berselindung di sebalik perniagaan lain,” dakwanya di Facebook semalam.
Tambah Sanjeevan, apa yang berlaku di kafe itu adalah cerminan kepada isu yang lebih besar pada masa kini.
“Seperti banyak premis judi haram yang lain, premis ini turut menyalahgunakan lesen perniagaan yang sah iaitu perniagaan Kafe Minuman bagi membuka premis judi secara haram bertujuan untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.
Sehubungan itu Sanjeevan menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera sebelum lebih banyak premis lain yang menjalankan kegiatan haram seperti itu dibuka. – MYNEWSHUB.CC