DALAM satu perbicaraan yang dikawal rapi, sebuah mahkamah di Bangkok telah meluluskan permohonan hak penjagaan seorang bayi perempuan kelahiran Thai kepada sepasang kekasih gay bangsa asing, semalam.
Tatkala keputusan dijatuhkan, air mata Manuel Santos, 41, berlinangan tanda gembira kerana permohonan yang memakan masa berbulan-bulan itu akhirnya diluluskan.
Katanya kepada para wartawan di luar mahkamah: “Terima kasih kepada para peguam kami, kepada penduduk Thailand, penyokong kuat kami, serta kepada individu-individu yang mendermakan kos perbelanjaan kami. Terima kasih semua.”
Mahkamah Pusat Juvana dan Keluarga telah membenarkan hak penjagaan terhadap bayi berusia 15 bulan yang dinamakan Carmen Lake kepada Santos dan pasangannya, Gordon Lake.
Lake bagaimanapun, tidak dapat hadir ke mahkamah.
Warganegara Amerika Syarikat itu merupakan bapa biologikal kepada Carmen oleh kerana dia telah menyumbangkan spermanya kepada ibu tumpang berbangsa Thai, Patidta Kusolsang, di dalam satu persefahaman yang diaturkan oleh sebuah agency bernama New Life.
Patidta dilaporkan telah menyerahkan Carmen kepada Lake di hospital sejurus tidak lama selepas melahirkan bayi tersebut, namun kemudiannya mendakwa bahawa pada awalnya dia tidak tahu mereka berdua merupakan pasangan gay, dan menuntut hak penjagaan terhadap bayi itu.
Meskipun Carmen berada di bawah penjagaan Lake dan Santos sejak dilahirkan, dia tidak boleh memiliki pasport oleh kerana saman yang dikemukan Patidta terhadap mereka.
Sejak kelahiran Carmen Januari tahun lalu, Lake telah menetap di beberapa lokasi rahsia sekitar Thailand kerana risau anaknya diculik.
Santos pula kembali ke Sepanyol di mana mereka mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia dua tahun, yang dilahirkan oleh seorang ibu tumpang di India.
Pasangan itu dilaporkan telah menerima sumbangan sebanyak US$36,000 (RM140,959.80) melalui saluran dana terbuka, “Bring Carmen Home” (Bawa Carmen Pulang). Inisiatif mereka ini telah meraih simpati penduduk tempatan, yang merupakan penyumbang terbesar tabung dana mereka itu.
Kes perebutan berprofil tinggi ini timbul ketika isu penggunaan khidmat ibu tumpang tidak sah di sisi undang-undang Thailand yang semakin berleluasa.
Oleh kerana itu, sejak Februari tahun lalu, kerajaan Thai telah mengharamkan warga asing untuk membayar wanita tempatan untuk dijadikan ibu tumpang.
Perjanjian bersama Patidta itu pula berlaku sebelum pengharaman tersebut dikuatkuasakan, maka kes itu tetap dibicarakan di mahkamah.
Sementara itu, ejen yang bertanggungjawab menjadi orang tengah dalam kes ini telahpun menghentikan operasinya di Bangkok. Mereka turut menyangkal dakwaan Patidta kerana dia telah diberi penerangan secukupnya bahawa klien mereka merupakan pasangan sejenis.
Satu lagi kes yang lebih kurang serupa melibatkan lelaki berbangsa Jepun yang telah membayar seorang wanita untuk menjadi ibu tumpang kepada 16 orang bayi pada tahun 2014.
Dalam kes lain, seorang bayi lelaki sindrom Down telah ditinggalkan di Thailand bersama ibu tumpangnya, manakala adik kembarnya dibawa pulang ke Australia bersama-sama ibu bapa angkat mereka.
Setelah kes tersebut menerima liputan meluas di media, kerajaan Australia telah meluluskan permohonan kewarganegaraan kepada bayi tersebut.
Keputusan mahkamah semalam dilihat seperti membenarkan Santos dan Lake untuk pulang ke negara asal mereka bersama-sama Carmen.
“Akhirnya, kami dapat terbang ke Sepanyol bersama-sama Carmen,” kata Santos.
“Kami tidak pasti bila, tetapi kami dapat rasakan masa itu tidak lama lagi.
“Daripada awal lagi kami sudah menjangkakan keputusan akan menyebelahi kami, kerana kami amat yakin Carmen akan membesar dengan kami.
“Kami amat sayangkannya, dia ialah anak perempuan kami, dan dia kenal ahli keluarga kami yang lain. Dia lebih gembira bersama kami. Dan Patidta bukanlah ibu sebenarnya.”
Peguam pasangan itu, Rachapol Sirikulchit, berkata Patidta mempunyai hak untuk membuat rayuan semula. Namun, masih belum jelas jika dia benar-benar mahu berbuat begitu.-MYNEWSHUB.CC