DIANGGARKAN hanya 100 orang pemandu sahaja yang hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur bagi menunjukkan sokongan mereka membantah permohonan Uber menjadi pencelah dalam kes saman yang difailkan mereka terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hari ini.
Pemandu yang hadir berkumpul di tempat letak kereta mahkamah tersebut meluahkan rasa tidak puas hati mereka kerana merasakan bahawa perkhidmatan Uber, Grabcar, dan Blacklane mengganggu periuk nasi mereka.
Selepas peguam R Kengadharan keluar dari mahkamah, mereka berarak keluar dari perkarangan mahkamah menuju ke tempat yang disediakan berhampiran dengan Masjid Kuala Lumpur untuk mengadakan sidang media.
Dalam perjalanan ke tempat tersebut, segelintir pemandu teksi tidak dapat mengawal kemarahan mereka apabila sebuah teksi yang mempamerkan pelekat kenderaan Grabcar berada di situ secara kebetulan.
Mereka mula berkasar dengan membuka pintu teksi tersebut dan secara paksa mengeluarkan pelekat yang ditampal di teksi itu tanpa kebenaran pemiliknya.
Mereka juga menggunakan bahasa kasar dan merempuh teksi terbabit semata-mata mahu menjadi ‘hero’ yang kononnya sedang berjuang melawan penindasan yang berlaku kepada mereka.
Tindakan murahan seperti ini menunjukkan perangai sebenar segelintir pemandu teksi yang menyebabkan pelanngan mereka bertukar arah menggunakan khidmat Uber, Grabcar dan Blacklane. -MYNEWSHUB.CC