PENYANYI dan pelakon Sabhi Saddi, kini tampil dengan imej sado jauh berbeza berbanding awal pembabitannya dalam industri seni tanah air.
Pelantun lagu Cinta Sesungguhnya itu telah lama berhasrat mahu mempunyai tubuh sasa namun niatnya terbantut kerana kesihatan yang tidak mengizinkan.
Menurut aktor ini kepada sebuah portal berita, penampilannya berbadan sado itu adalah untuk menjayakan watak dalam projek terbaharunya selain menampilkan sisi berbeza dirinya.
“Penampilan berbadan ‘sado’ ini menampilkan sisi yang lain bagi diri saya. Selain untuk menjayakan watak bagi projek terbaharu, saya memang sudah lama ingin berbadan sasa sebegini.
“Kali ini, memang saya penuh bersemangat dari segi pemakanan dan juga senaman lima kali seminggu di gimnasium,” katanya yang pernah beraksi dalam drama Bodyguard yang mengisi slot Aksi TV3 pada Februari lalu.
Dalam perkembangan lain, Sabhi baru sahaja mengeluarkan single terbaharu berjudul Percuma, ciptaan sepenuhnya Bamby Nor dan diedarkan oleh NOVA Music. – MYNEWSHUB.CC