GEORGE TOWN – Dua puluh tujuh wanita Thailand yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen di sebuah pusat hiburan di Jalan Green Hall, di sini awal pagi ini.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang Abdul Rahman Hassan berkata selain bekerja sebagai GRO, ada di antara wanita yang ditahan itu turut menjadi penyanyi dan pemuzik di pusat hiburan berkenaan.
“Dalam operasi 1.30 pagi itu, kami turut menahan dua lelaki Thailand, dua lelaki Nepal dan seorang lelaki Bangladesh yang bekerja sebagai pelayan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua mereka yang berusia 20 hingga 35 tahun itu ditahan kerana menyalah guna pas lawatan sosial, tinggal lebih masa dan tiada dokumen perjalanan diri.
Abdul Rahman berkata siasatan awal mendapati GRO di pusat hiburan yang pernah diserbu beberapa kali oleh jabatan itu turut menawarkan perkhidmatan seks. – BERNAMA