MUAR – Tiga banduan terlepas daripada hukuman gantung apabila masing-masing dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini hari ini, atas pertuduhan pindaan menyebabkan kematian terhadap seorang rakan banduan tiga tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman, Muhammad Jamil Hussin menjatuhi hukuman itu terhadap Salihudin Sudin, 24; Arif Fikri Zainal, 22; dan Ahmad Fadhil Mohamad, 24; selepas ketiga-tiga mereka mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan pindaan, mereka didakwa melakukan pembunuhan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan terhadap Mohamad Azmizan Azman, 20, pada 20 hingga 21 Ogos 2013.
Muhammad Jamil mengarahkan pertuduhan tersebut dipinda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di bawah Seksyen 302 pada akhir pendakwaan.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amira Sariaty Zainal manakala Salihudin diwakili penguam bela Hishamudin A. Aziz, Arif diwakili peguam bela Zurina Sidik dan Ahmad Fadhil, peguam bela Salmi Hamdan.
Dalam hujah pembelaan, ketiga-tiga peguam bela merayu agar hukuman terhadap tertuduh diringankan, namun ia dibantah Amira Sariaty atas alasan kejadian itu menyebabkan kehilangan nyawa.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa menyebabkan kematian terhadap Mohamad Azmizan kira-kira 8 malam, 20 Ogos hingga 9 pagi, 21 Ogos 2013 di Rumah Nombor 4, Wing Kiri, Blok Tawakal Penjara Kampung Gajah Kluang.
Kejadian itu berlaku selepas perjumpaan kesemua banduan untuk berbincang mengenai masalah dihadapi.
Semasa perjumpaan itu, berlaku selisih faham menyebabkan mangsa dipukul sehingga mengalami kecederaan teruk di dada, tulang rusuk dan tulang halkum.
Mangsa disahkan mati sejurus tiba di Unit Kecemasan, Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang. – BERNAMA