PUTRAJAYA – Sejumlah 41,880 permohonan diterima sehingga kini bagi 19,225 unit kediaman Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang ditawarkan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
“Terdapat permintaan yang tinggi terhadap unit-unit kediaman PPA1M,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Jual dan Beli PPA1M Putrajaya Fasa Satu di sini hari ini.
Idea PPA1M Putrajaya dicetuskan oleh Ali pada 2013 dalam memenuhi hasrat penjawat awam membeli rumah yang mampu dimiliki di Putrajaya.
Ali berkata Unit PPA1M dan Perbadanan Putrajaya diharap dapat terus mengorak langkah dalam usaha membangunkan PPA1M bagi memastikan ia siap dalam jangka masa yang disasarkan kerajaan.
Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu melihat pembangunan PPA1M di Putrajaya siap mengikut jadual, dan beliau sendiri sering memaklumkan kepada Perdana Menteri mengenai status pembangunan PPA1M di Putrajaya dari semasa ke semasa.
Perbadanan Putrajaya dalam kenyataan dikeluarkan sempena majlis hari ini, menyatakan sebanyak 7,872 pembeli PPA1M Putrajaya Fasa Satu menandatangani perjanjian jual dan beli secara berperingkat bermula pada majlis hari ini sehinggalah proses berkenaan selesai sepenuhnya, akhir bulan ini.
PPA1M Putrajaya Fasa Satu dijangka siap sepenuhnya pada 2017 dan kesemua 7,872 penjawat awam bakal mendiami rumah yang dibeli dengan harga kawalan kerajaan antara RM150,000 dan RM300,000 dengan keluasan 1,000 kaki persegi, 1,200 kaki persegi dan 1,500 kaki persegi, kata kenyataan itu.
“Siri cabutan seterusnya bagi PPA1M dijangka diadakan pada Jun 2016 melibatkan pemohon yang belum berjaya sebelum ini,” kata kenyataan itu. – BERNAMA