KUANTAN – Arahan penutupan sekolah akibat cuaca panas di daerah Temerloh dan Jerantut hari ini membabitkan 50,492 pelajar, kata Pengarah Pendidikan Pahang, Datuk Rosdi Ismail.
Beliau berkata jumlah sekolah yang ditutup adalah sebanyak 155 buah terdiri daripada 38 buah sekolah menengah manakala bakinya adalah sekolah rendah.
“Jumlah pelajar yang terlibat di Temerloh adalah seramai 13,476 orang pelajar sekolah menengah dan 18,401 murid sekolah rendah.
“Manakala di Jerantut, kita mempunyai seramai 7,401 pelajar menengah dan 11,214 murid sekolah rendah,” katanya kepada Bernama.
Semalam Kementerian Pendidikan mengarahkan sekolah di dua daerah itu ditutup selama sehari selepas bacaan di kawasan tersebut melebihi 37 darjah celsius. – BERNAMA