PUTRAJAYA – Acara jahit beramai-ramai secara serentak membabitkan 606 peserta di Auditorium Cempaka Sari, Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini hari ini, berjaya dimasukkan dalam Guinness World Records.
Pengiktirafan itu dimaklumkan Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJK) dalam kenyataan kepada media selepas disahkan oleh wakil Guinness World Records yang hadir.
Ia dianjurkan bersama PSJK, Pusat Latihan Kraftangan Epal, Perbadanan Putrajaya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Janome Malaysia, bagi mengangkat hasil seni batik sebagai warisan negara.
Hadir menyaksikan acara sehari yang bertemakan ‘Be A Part of The Breakthrough And Made Someone’s Dreams Come True’ adalah Timbalan Menteri KPWKM, Datin Paduka Chew Mei Fun dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.
Pada majlis sama, pengiktirafan dari Malaysian Book of Records juga diberikan bagi Pembuatan Sofa Terpanjang dengan menggunakan bahan kitar semula iaitu daripada jeans terpakai dengan ukuran panjang sofa lebih dari 52.5 meter.
Sofa itu dihasilkan banduan yang masih menerima hukuman di Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang.
Sementara itu, di majlis sama, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan merasmikan PSJK Handmade Market.
PSJK Handmade Market melibatkan seramai 1,002 perintis di seluruh negara yang terdiri daripada pelbagai golongan seperti ibu tunggal, warga emas, suri rumah serta golongan lelaki yang meminati bidang jahitan untuk menjana ekonomi melalui hasil kerja tangan mereka.
Hasil produk mereka akan dipasarkan di pusat membeli-belah terkemuka seperti City One Megamall, Kuching, Sarawak; Berjaya Megamall, Kuantan, Pahang dan Palm Mall, Seremban, Negeri Sembilan. – BERNAMA