NIBONG TEBAL – Tujuh bas Rapid Penang yang diletakkan di depo penyimpanan bas syarikat itu di Jalan Bukit Pancur, di sini terbakar, hari ini.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Ashraf Affendi Abdul Rahim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.42 petang dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal tiba di lokasi kejadian kira-kira 6 minit kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebahagian bas itu telah terbakar dan api sedang marak, pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal kebakaran itu daripada merebak,” katanya di sini malam ini.
Katanya pihaknya berjaya memadam keseluruhan api di kawasan kebakaran itu pada pukul 6.15 petang.
“Pemeriksaan mendapati tujuh bas Rapid Penang di situ terbakar dengan lima daripadanya musnah 100 peratus manakala dua lagi terbakar kira-kira 80 peratus,” katanya.
Ashraf Affendi berkata seramai 10 pegawai termasuk anggota bomba bersama dua jentera dibantu enam Pasukan Bomba Sukarela terlibat dalam operasi memadam kebakaran itu dan punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Katanya, pihaknya akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup yang terdapat di sekitar kawasan itu bagi membantu siasatan kes berkenaan. – BERNAMA