TEHERAN – Ramai netizen dan media di Iran melahirkan kebimbangan susulan penugasan 7,000 anggota ejen polis rahsia memantau tingkah laku penduduk awam di jalan-jalan sekitar ibu kota negara Syiah itu.
Polis Iran mengumumkan pembentukan pasukan baharu tersebut pada 18 April lalu dan salah satu keutamaan mereka ialah mengawasi wanita yang cuba menanggalkan tudung ketika berada di dalam kenderaan persendirian.
Beberapa akhbar aliran sederhana dan pembaharuan memandang langkah terkini itu sebagai inisiatif penjagaan moral terutama golongan muda yang menimbulkan perasaan tidak percaya pemerintah ke atas rakyatnya sendiri.
Namun ada sejumlah media tempatan memberi isyarat bahawa pasukan itu sebenarnya dapat digunakan untuk hal semasa yang lebih baik seperti mengatasi isu penyelewengan dan penyeludupan pihak tidak bertanggungjawab.
Anggota penguatkuasaan tugas khas ini bagaimanapun tidak dibenarkan untuk menghadapi secara langsung individu yang melanggar peraturan moral, tetapi mereka akan melaporkannya kepada pihak polis setempat.
“Ejen moral ini memantau wanita berhijab teruk, tanggal tudung dalam kereta, memandu berbahaya, mengaibkan wanita dan menghentikan pencemaran bunyi,” kata ketua komandan polis Teheran, Jeneral Hossein Sajedinia.
Agensi berita rasmi Iran, IRNA melaporkan, unit polis peronda sebaik menerima maklumat daripada ejen rahsia itu akan terus menahan wanita terbabit di lebuh raya atau kompleks beli-belah untuk tindakan selanjutnya.
Polis republik Iran mula membentuk unit baharu yang terdiri daripada 7,000 ejen itu untuk membantu mereka mengawasi masalah akhlak rendah khasnya wanita berpakaian ketat atau mendedahkan rambut di jalanan.
Namun salah satu tugas utama polis khas berpakaian preman itu adalah mengawasi kaum wanita tempatan yang melucutkan kerudung kepala sebaik berada di dalam kereta sendiri telah mencetuskan kegelisahan masyarakat.
Setiap ejen itu juga akan mengawasi masalah pelanggaran disiplin lain, seperti mengemudikan kenderaan secara berbahaya, remaja bercampur gaul bebas dan gangguan seksual terhadap wanita. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA