PADANG BESAR – Agensi Keselamatan Sempadan (Aksem) Perlis merampas 4,812 botol arak pelbagai jenama dan 1,985 kartun rokok putih bernilai anggaran RM462,300 di Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam.
Komander Aksem Padang Besar, ASP Bahari Ahmad berkata semasa operasi yang dilakukan berdasarkan maklumat awam itu, terdapat empat buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan ditinggalkan di kawasan semak berhampiran Black Forest Golf and Country Club, Bukit Kayu Hitam.
“Anggota melakukan intipan selama lapan jam di kawasan terbabit untuk menunggu suspek…namun tiada sesiapa yang datang.
“Atas arahan Komander Aksem Perlis DSP Syed Basri Syed Ali, kenderaan berisi muatan pelbagai jenama arak dan rokok itu dibawa balik ke kem Aksem Padang Besar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Aksem di sini, Isnin.
Bahari berkata empat kenderaan tersebut adalah Proton Waja, Naza Kia Caren, Naza Ria dan Proton Exora yang kesemuanya bernilai RM115,000.
Tiga daripada kenderaan itu dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Kesemua arak dan rokok itu dipercayai diambil dari kedai zon bebas cukai di Bukit Kayu Hitam untuk dibawa ke Alor Setar dan Pulau Pinang untuk diedar di kedai-kedai makan,” katanya.
Beliau berkata kes itu merupakan yang terbesar setakat ini tahun ini dan kesemua hasil rampasan akan diserahkan kepada Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.
Dalam kes berasingan, pasukan yang sama turut berjaya menahan dua lelaki warga tempatan berusia 39 dan 30 tahun bersama 20 bungkusan plastik hitam yang mengandungi daun ketum seberat 210 kilogram jam 11 pagi tadi.
Bahari berkata sepasukan anggota risikannya terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan, ketika melakukan rondaan di Jalan Felda Rimba Mas, Padang Besar.
“Anggota bertugas kemudian mengekori kenderaan tersebut hingga ke kawasan Arked Niaga Padang Besar.
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek dan kenderaan terbabit, menjumpai sebanyak 20 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum di bahagian boot dan tempat duduk belakang,” katanya.
Kedua-dua mereka dipercayai cuba menyeludup daun ketum itu ke Thailand untuk dijual dengan harga mencecah RM80 sekilogram.
Suspek serta daun ketum berkenaan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Padang Besar. – BERNAMA