NEW YORK – Ketika usianya baharu sahaja 10 tahun, ibu bapa remaja Afghanistan ini, Sonita Alizadeh pernah menimbangkan untuk mengahwinkannya demi mendapat ganjaran wang dengan cara mudah.
Meskipun mereka akhirnya tidak jadi berbuat demikian, ketika usianya 16 tahun, ibunya sekali lagi cuba mahu mengahwinkan anak perempuannya itu secara paksa, lapor portal antarabangsa Huffington Post.
Sonita diberitahu dia akan dikahwinkan agar keluarganya mendapat bayaran AS$9,000 (kira-kira RM34,950) yang bakal digunakan untuk menanggung pula kos majlis perkahwinan abangnya selepas itu.
Namun, Sonita berjaya menghentikan niat ibunya itu daripada berbuat demikian – dengan menulis dan merakam satu video lagu rap yang kemudian langsung menjadi viral secara online ke seluruh dunia.
Paling menakjubkan apabila video muzik yang dirakamnya itu, ‘Brides for Sale’ atau bermaksud pengantin untuk dijual tersebut sudah pun ditonton hampir separuh juta kali setakat ini oleh netizen luar negara.
Sonita, 19 tahun, kini merupakan penyanyi rap wanita termuda di Afghanistan. Menceritakan pengalamannya di sidang puncak Women in the World di sini 7 April lalu, Sonita berkata ia merupakan detik pilu baginya.
“Saya tidak faham kenapa harus lupakan saja impian-impian saya,” katanya. Pada sidang itu, Sonita berkata dia menulis lagu rap itu kerana sedih ibu bapanya cuba ‘menjualnya’, dan mahu meluahkan perasaannya.
Lirik lagu ditulisnya itu antara lain berbunyi: “Aku bingung dengan adat masyarakatku/ Mereka jual anak gadis untuk dapat wang, kami tiada hak buat pilihan/ Beritahu apa yang aku harus lakukan demi buktikan diriku.”
Menurut Huffington Post lagi, selepas menonton video lagu tersebut, ibu Sonita bersetuju untuk tidak mengahwinkannya bahkan, masa depannya tanpa disangka juga menjadi lebih cerah daripada dijangkakan.
Ia ekoran sebuah sekolah menengah di Utah, Amerika Syarikat secara kebetulan menonton videonya itu dan menawarkan Sonita satu program biasiswa khas untuk dia dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah tersebut.
Menceritakan lebih lanjut, Sonita berkata ia merupakan kali pertama dia menuntut di sebuah sekolah sebenar dan berkata: “Mulanya, amat sukar bagi saya, kerana saya tidak tahu bertutur langsung dalam bahasa Inggeris.
“Saya hanya tahu dua perkataan – ‘hi‘ dan ‘bye’. Tetapi sekarang saya telah berjaya meraih gred ‘A’ dalam banyak mata pelajaran, dan saya ingin ke Universiti Harvard pula,” katanya seperti dipetik oleh Huffington Post.
Menurut agensi Dana Kecemasan Kanak-kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), usia minimum yang sah dari segi undang-undang tempatan bagi wanita di Afghanistan berkahwin sebenarnya ialah 16 tahun.
Bagaimanapun apa yang berlaku, dianggarkan 40 peratus wanita di Afghanistan sudah pun berkahwin sebelum usia 18 tahun lagi, dan satu daripada setiap enam wanita telah berkahwin sebelum umur mereka 15 tahun.
Meskipun perkahwinan bawah umur dilarang dari segi undang-undang sivil, ia tetap berleluasa di kawasan luar bandar, apabila banyak keluarga susah terpaksa menjual anak perempuan mereka demi melunaskan hutang.
“Ada berkahwin untuk membayar hantaran kahwin. Ia bukan hanya di Afghanistan, ia berlaku di seluruh dunia,” kata Sonita dan berkata pendekatan pelbagai kaedah perlu dilaksanakan untuk menghentikan amalan itu.
Langkah pertama, keluarga ujarnya perlu memahami bahawa terdapat pilihan lain untuk anak perempuan mereka. Kedua, masyarakat tempatan dan pemimpin agama perlu menggalakkan perubahan dari segi adat lapuk.
Manakala langkah ketiga, pemerintah sesebuah negara perlu menyokong program kesedaran tempatan untuk memberi pendidikan dan menghentikan amalan mengahwinkan kanak-kanak pada usia terlalu muda.
Huffington Post turut melaporkan, Sonita mahu menjadi peguam di Afghanistan untuk membela ramai mangsa perkahwinan kanak-kanak seperti nyaris pernah dialami dirinya sendiri. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA