KOTA KINABALU – Kualiti udara di Keningau, yang terletak kira-kira 131 kilometer dari sini, masih sederhana tetapi bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terus meningkat setakat 11 pagi ini.
Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), kualiti udara di kawasan itu bertambah dengan bacaan IPU mencatat 61 berbanding 59 pada jam 6 pagi tadi.
Di Kota Kinabalu, kualiti udara turut mencatatkan bacaan IPU sederhana iaitu 53, menurun berbanding bacaan IPU 55 direkodkan pada tempoh sama.
Sementara itu, Sandakan dan Tawau pula mencatatkan bacaan IPU baik sejak awal pagi tadi, dan setakat jam 11 pagi, bacaan IPU di kedua-dua kawasan itu direkodkan 32 dan 31.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya). – BERNAMA