LOS ANGELES – Seorang lelaki berdepan hukuman penjara sehingga enam tahun kerana meninggalkan bayi perempuannya berusia sembilan bulan bersendirian di tempat letak kereta ketika dia pula pergi ke sebuah kelab tarian bogel.
Pendakwa raya daerah Los Angeles, Jackie Lacey dalam kenyataan pada Selasa berkata, Auwin Dargin, 24, didakwa atas tuduhan penderaan terhadap kanak-kanak dalam kejadian pada Mac lalu.
Pihak berkuasa berkata, pekerja kelab tarian bogel itu dan peniaga berdekatan menyelamatkan bayi itu selepas kebetulan mereka mendengar tangisan dan kemudiannya memanggil polis.
Sehubungan itu, pekerja kelab tarian bogel berkenaan berkata, mereka curiga selepas mendapati Dargin meninggalkan kelab itu setiap 15 minit dalam kejadian pada petang 9 Mac lalu dan masuk semula.
Sementara itu, laporan akhbar tempatan menyiarkan bapa bayi berkenaan sedang menonton persembahan tarian bogel apabila pengurus kelab memberitahu bahawa bayinya sudah menangis.
Pihak berkuasa berkata, bayi itu kelihatan keliru dan dibawa ke hospital berdekatan serta mengalami sedikit kepenatan. Dargin pula mengaku tidak bersalah dalam kes terbabit. – AFP/BH ONLINE