BEKAS Miss New Zealand yang mencetuskan kontroversi dengan tarian haka dalam pertandingan Miss World 2015 lalu, kini telah bergelar doktor selepas tujuh tahun bergelut dengan pengajian dalam bidang perubatan.
Deborah Lambie, 25, yang berasal dari Wellington, bertugas sebagai doktor di Hospital Wellington, sekali gus menjadikan dia sebagai wanita yang bukan sahaja cantik malah bijak.
Dia berjaya menamatkan pengajian pada bulan November 2015, hanya beberapa hari sebelum berlepas ke China untuk menyertai pertandingan Miss World.
Buat masa ini, Deborah terpaksa bekerja lebih masa dan bertugas di wad bedah selama tiga bulan sebelum dipindahkan ke wad psikiatrik dan kemudiannya ke perubatan am.
“Ia merupakan sesuatu yang mencabar tetapi akhirnya saya mendapat ganjaran. Ia menukar sepenuhnya gaya hidup saya kerana apa yang saya lakukan adalah berbeza sepenuhnya,” katanya.
Dalam pertandingan Miss World itu, Deborah mencetuskan kontroversi selepas membuat persembahan tarian haka, dengan langkah yang disifatkan ramai sebagai sumbang.
Ia membuatkan dia dikecam sebagai memalukan meskipun Deborah telah mendapatkan latihan daripada pakar.
Deborah mendapat tempat ke-15 secara keseluruhan dalam pertandingan Miss World itu. – Mynewshub.cc