UMUM mengetahui penyanyi Adira pernah mengikat tali pertunangan dengan Shahrul Nasrun Kamarudin, namun hubungan itu tidak kekal sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.
Penyanyi lagu runut Ombak Rindu yang berasal dari Sabah ini juga telah pun selamat bergelar isteri kedua kepada seorang ahli perniagaan pada Disember tahun lalu.
Kini tiba giliran Shahrul, 30; mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya yang merupakan usahawan produk kecantikan Fatin Amyera Zainal Abidin, 27, pada 20 Mei depan.
Menurut Shahrul yang juga Presiden Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia, dia sendiri tidak menyangka wanita yang dikenalinya menerusi laman sosial Myspace, 12 tahun lalu, bakal menjadi isterinya.
“Tiada perkataan yang boleh disimpulkan mengenai perasaan saya ketika ini. Cuma, saya bersyukur kerana penantian untuk hidup bersama seorang wanita yang betul-betul memahami diri ini akhirnya termakbul.
“Saya bertuah mempunyai bakal isteri yang sangat penyabar dan ikhlas dalam setiap tindakan yang dilakukan dan pada masa sama seorang yang jujur. Paling penting, dia menghormati ibu bapa saya.
“Saya juga dapat melihat, dirinya mampu menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anak kami nanti, insya-Allah. Selain itu, dia wanita yang sangat cantik dan seorang yang bekerja keras,” katanya kepada BH Online.
Dalam pada itu, Adira yang diminta mengulas berita perkahwinan bekas tunangnya meluahkan rasa gembiranya.
“Alhamdulillah, ia adalah satu berita gembira buat semua dan saya turut menumpang bahagia dengan khabar itu. Saya mendoakan agar Shahrul dan pasangannya bahagia hingga ke akhir hayat,” tuturnya.
Pada Disember tahun lalu, Adira mengakui telah berkahwin dan bergelar isteri kedua kepada Datuk Seri Adenan Abu di Songkhla, Thailand.
Berita pernikahan Adira mengejutkan pelbagai pihak. – MYNEWSHUB.CC