BERLAKU sedikit kekecohan apabila seekor lembu telah terjatuh dan terperangkap di dalam longkang bawah tanah di sebuah taman perumahan yang terletak di Sabak Bernam, Selangor kira-kira jam 8 malam, Rabu.
Lembu itu dipercayai terjatuh ke dalam lubang tersebut kerana tidak ditutup. Seorang penduduk yang menyedari insiden itu telah segera menghubungi pihak bomba untuk menyelamatkan lembu tersebut.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, sepasukan dari balai Sabak Bernam bergegas ke tempat kejadian dan berusaha menyelamatkan lembut tersebut dan turut dibantu beberapa penduduk setempat.
Sejurus selepas usaha menyelamatkan lembu itu berjaya, haiwan tersebut diserahkan kembali kepada pemiliknya yang juga berada di situ untuk membantu pihak bomba mengeluarkan lembunya dari longkang berkenaan.
Selain daripada memadamkan kebakaran, pihak bomba juga harus diberi pujian kerana sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakat walaupun membabitkan seekor lembu. – MYNEWSHUB.CC
Kredit: Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor