KUALA LUMPUR – Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda sekali lagi menyahut cabaran Ahli Parlimen DAP, Tony Pua untuk berdebat isu melibatkan syarikat pelaburan itu.
Beliau bagaimanapun meminta Tony mendapatkan kebenaran Speaker Dewan Rakyat terlebih dahulu untuk mengelakkan dirinya dipermalukan sekali lagi seperti dalam cabaran debat sebelum ini.
“Secara ironiknya, ini mungkin kali pertama ‘Hakim PAC’ mahu berdebat dengan ‘Defenden’ selepas perbicaraan dan laporan seimbang (tidak bias) secara bersama telah pun diterbitkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata Arul, Tony telah pun menyoal siasat dirinya hampir secara eksklusif dengan bertalu-talu bertanyakan soalan selama dua hari ketika prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berlangsung baru-baru ini.
“Nampaknya YB Tony masih teringin menghabiskan sata-saat indah dan berkualiti dengan saya, siapa la saya untuk menolak hak kenikmatan itu kepada YB Tony,” katanya sinis.
Arul menambah, beliau tetap menyahut cabaran itu walaupun melihat Tony seperti orang sewel dalam kekeliruan yang amat semenjak dua ini.
“YB Tony ada berkata ‘anda boleh hampir jatuh cinta dengan saya’, kemudian dia mengelarkan saya sebagai seorang penipu dan merendahkan pencapaian saya.
“Pada pagi Khamis dia berkata saya seharusnya meletak jawatan, pada malam Khamis pula mengajak saya berdebat.
“Agak nyata Yb Tony sedang dalam kekeliruan dan bercanggah (pandangan) dengan dirinya sendiri. Dia sendiri tak tahu sama dia cintakan saya atau bencikan saya.
“Dia kata saya perlu meletak jawatan, kemudian berkata saya perlu kekal dan berdebat dengannya. Semua ini disebalik begitu ramai dalam DAP termasuk Tony yang
mengatakan saya seorang penipu, tak guna dengar cakap saya.
“Jadi mengapa hendak berdebat jika anda (semua) tidak akan mendengar atau percaya apa-apa yang saya cakapkan,” katanya.
Namun beliau tetap bersedia menerima cabaran itu dan berkata; “Bring it on!â€Â. – MYNEWSHUB.CC