SEORANG pelajar berusia 15 tahun mendakwa telah dicabul oleh seorang anggota polis ketika berada di dalam tahanan Lokap Bersepadu Jinjang, Kuala Lumpur, pada Ahad lalu.
Kejadian ini terbongkar apabila mangsa membuat laporan polis seterusnya didedahkan menerusi laman Facebook Malaysian Crime Watch atau lebih dikenali MyWatch.
Menurut MyWatch, ketika kejadian kira-kira jam 1 pagi, mangsa pada awalnya telah diarahkan oleh anggota polis terbabit untuk menyapu sampah di luar sel.
Bagaimanapun, ketika mangsa sedang menghisap rokok, polis berkenaan tiba-tiba datang menghampirinya lalu memegang kemaluannya.
“Kemudian mangsa telah diberi rokok dan suspek arahkan mangsa menghisap rokok di lorong pili air.
“Sewaktu mangsa menghisap rokok, suspek telah datang dan terus memegang kemaluan mangsa. Suspek kemudian melutut dan menghisap kemaluan mangsa dan turut menelan air mani mangsa.
“Kerana takut, mangsa membiarkan sahaja perlakuan suspek,” tulis MyWatch.
Difahamkan, selepas selesai diperlakukan sedemikian, mangsa telah disuruh kembali ke dalam lokapnya sebelum menceritakan hal tersebut kepada pegawai penyiasat kesnya.
Susulan itu, pegawai tersebut meminta mangsa membuat laporan polis.
Hasil siasatan awal polis juga mendapati terdapat dua mangsa lain juga melalui kejadian yang hampir sama dengan polis yang sama. Namun, dua mangsa lain yang juga berusia belasan tahun hanya disuruh melakukan onani dihadapan suspek.
Berikutan itu, MyWatch menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menahan suspek yang terlibat dalam kes ini kerana tindakannya telah mencemarkan integriti PDRM.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengesahkan pihak polis sedang menyiasat kes ini.
“Suspek yang berusia 27 tahun direman sehingga 15 April ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen377(c) Kanun Keseksaan,” katanya. – MYNEWSHUB.CC