VIRAL baru-baru ini mengenai seorang pesakit yang memuat naik rasa amarahnya apabila dipersoal doktor sama ada dia mengandung atau tidak ketika menjalani sesi pemeriksaan kesihatan.
Dia turut membidas tindakan doktor itu yang disifatkannya sebagai kurang sopan apabila menyuruhnya melakukan ujian air kencing bagi memeriksa sama ada dia sedang hamil atau pun tidak.
Susulan itu, seorang doktor tampil memberikan penjelasan berhubung ‘ketidakjelasan’ wanita itu mengenai prosedur yang perlu dilakukan oleh doktor terhadap setiap pesakit mereka yang sudah mencapai usia baligh.
Memetik status yang dikongsikan Dr Abdul Rahman Abdul Kadir, beliau menyatakan apabila seorang wanita yang berada dalam lingkungan usia produktif, bertemu doktor atas sebab mengalami sakit dalam perut, kemungkinan paling bahaya yang perlu diketepikan adalah kehamilan luar rahim atau ectopic pregnancy.
Justeru itu, ujian air kencing adalah menjadi satu keperluan bagi mengkaji sekiranya terdapat permasalahan tersebut.
Tambah doktor itu lagi, masyarakat mungkin akan mempersoalkan mengapa tidak ditanya sahaja adakah pesakit berkemungkinan hamil.
Namun menurutnya, berdasarkan pengalaman, ia mengajar mereka untuk tidak bergantung sepenuhnya dengan apa yang diberitahu pesakit.
Menurutnya lagi, jika seseorang wanita itu mustahil mengandung, dia tidak perlu risau untuk menjalani ujian tersebut.
Apa yang dilakukan oleh para doktor, kata Abdul Rahman adalah untuk menyelamatkan nyawa, bukan untuk memalukan sesiapa.
Doktor ini juga sempat menasihati orang ramai agar memahami sesuatu perkara terlebih dahulu sebelum cepat menjatuhkan hukuman ke atas mana-mana pihak. – MYNEWSHUB.CC