Simpang Pulai – Dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut dalam kemalangan di Kilometer 44 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, dekat sini lewat petang semalam.
Dalam kejadian 6 petang itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Syukri Mohammad, 26, dan Norkhaliza Mohd Yusoff, 23, maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan pacuan empat roda dipandu Lai Hooi Siong, 26.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada orang awam dan sebaik tiba di lokasi mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan.
“Kemalangan itu membabitkan tiga mangsa iaitu dua mangsa maut, manakala pemandu pacuan empat roda yang berasal dari Kuala Terla, Cameron Highlands cedera.
“Operasi menyelamat yang diketuai pegawai Bomba Kanan l, Ali Hiari itu turut disertai pasukan Bomba Cameron Highlands,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, tiada mangsa yang tersepit dalam kenalangan itu dan kesemuanya sudah dikeluarkan orang awam.
Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Muhamad Haziq Hazmi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 6.13 petang dan jentera tiba di lokasi kejadian kira-kira 7 malam.
“Pasukan kami kemudian menyerahkan operasi sepenuhnya kepada Bomba Simpang Pulai,” katanya. – myMetro Online