KUALA LUMPUR – Syarikat telekomunikasi digesa membuat pengesahan terperinci mengenai maklumat MyKad yang diberikan oleh ejen dan pengedar jualan mereka sebelum mendaftarkan kad sim prabayar baharu untuk mengelakkan penggunaan identiti palsu.
Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), Megat Ishak Maamunor Rashid berkata, pihaknya membuat gesaan itu kerana CFM menerima sebanyak 89 aduan pendaftaran palsu kad sim prabayar sepanjang tahun lalu.
Menurutnya, jumlah aduan yang diterima itu mencatatkan peningkatan sebanyak 187.1 peratus berbanding aduan diterima pada tahun sebelumnya yang cuma merekodkan sebanyak 31 aduan.
“Sehubungan itu, syarikat telekomunikasi perlu mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengesahkan maklumat yang diberikan oleh bakal pelanggan mereka.
“Proses tersebut bertujuan mengelakkan penyalahgunaan maklumat pengguna yang merupakan pelanggaran syarat bagi lesen syarikat telekomunikasi seperti ditetapkan di bawah seksyen 242 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Megat Ishak turut menasihatkan orang ramai supaya mengetahui wakil jualan syarikat telekomunikasi tidak perlu membuat sebarang salinan MyKad pelanggan semasa pendaftaran.
Menurut beliau, penyedia perkhidmatan itu hanya perlu membuat pengesahan maklumat pengenalan diri yang diberikan oleh pengguna.
Katanya, pengguna juga dinasihatkan agar membaca terma dan syarat dengan teliti sebelum
menandatangani sebarang dokumen serta mendapatkan salinan dokumen yang telah ditandatangani untuk simpanan dan rujukan.
“Terdapat ejen dan pengedar jualan yang menggunakan maklumat peribadi pengguna lain untuk membuat pendaftaran akaun palsu untuk pelanggan mereka terutamanya warga asing atas faktor untuk meningkatkan jualan,†katanya. – mynewshub.cc