KUALA LUMPUR – Felda United meneruskan rentak kemenangan apabila membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, malam ini.
Kemenangan ketujuh dicatat skuad ‘The Fighters’ kendalian Irfan Bakti selepas lapan perlawanan, menyaksikan mereka terus mengungguli kedudukan teratas Liga Super dengan kutipan 21 mata.
Pada aksi di Jengka, Christie Jayaseelan membuka tirai jaringan untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-20 sebelum pemain antarabangsa Uzbekistan, Lutfulla Turaev menggandakan kedudukan, selang enam minit kemudian menerusi sepakan percuma.
Lutfulla meledak gol peribadi kedua pada minit ke-87 sebelum Francis Forkey Doe melengkapkan kemenangan bergaya skuad ‘The Fighters’ dengan gol keempat pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.
Juara Liga Super 2015, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengekori rapat Felda United setelah mencatat kemenangan 5-2 ke atas Sarawak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Lima gol skuad Harimau Selatan dijaringkan Jorge Pereyra Diaz pada minit ketiga, Marcos Antonio (minit ke-34), Juan Martin Lucero (minit ke-35), gol sendiri oleh kapten Sarawak Mohd Shahrol Saperi (minit ke-40) dan Muhammad Fazly Mazlan pada minit ke-44.
Dua gol Sarawak dihasilkan oleh K. Gurusamy pada minit ke-13 dan pemain pertahanan JDT, Mohd Fadli Mohd Shas yang tertanduk masuk bola ke gawang sendiri pada minit ke-59.
JDT sebelum itu berpeluang menambah jaringan, namun sepakan penalti kapten pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-47 berjaya diselamatkan penjaga gol Sarawak, Mohd Shahril Saa’ri.
Selangor pula naik satu anak tangga untuk memintas kedudukan PDRM di tangga ketiga liga setelah menang tipis 1-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, hasil jaringan Mauro Olivi pada minit ke-16.
Terengganu FC II pula melonjak tiga anak tangga ke kedudukan keempat liga setelah menang 4-1 ke atas Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Empat gol skuad ‘The Titans’ dijaringkan Mohd Asrol Ibrahim pada minit kesembilan, Makan Konate (minit ke-65), Ahmad Takhiyuddin Roslan (minit ke-77) dan Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-83, manakala gol tunggal Kedah dijaringkan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-42.
Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, jaringan pada penghujung babak kedua perlawanan menerusi German Ezequiel Pacheco menyaksikan Pahang FC menang tipis 4-3 ke atas Kelantan.
Terdahulu, kedua-dua pasukan seri 3-3 dengan gol Pahang dijaringkan oleh Dalibor Volas pada minit ke-13, Pacheco (minit ke-45) dan Mohd Faisal Mohd Rosli, selang dua minit kemudian.
Kelantan pula memperoleh gol menerusi Dramane Traore pada minit kesembilan, sepakan penalti oleh Blazhe Ilijoski pada minit ke-55 dan Mohd Khairul Izuan Rosli pada minit ke-78.
Untuk rekod, Perak menewaskan Terengganu FA 3-2 pada aksi tunggal Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak di Kuala Nerus, Terengganu, semalam. – BERNAMA