SHAH ALAM – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor akan terus memberi bimbingan dan membantu murid Tahun Dua di sebuah sekolah di Klang yang mendakwa dipaksa memotong lidahnya pada 24 Mac lepas.
Pengarahnya Zainuren Mohd Noor berkata, pihaknya akan memberi teguran lisan selain memberi bantuan kaunseling kepada murid berkenaan bagi memastikan insiden itu tidak mematikan semangatnya untuk terus belajar.
“Selain itu, saya juga ingin menasihati ibu bapa supaya merujuk dengan pihak sekolah terlebih dahulu sekiranya apa-apa perkara terjadi ke atas anak mereka dan jangan terburu-buru membuat sebarang kenyataan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas arahan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mahu JPN Selangor mengambil tindakan sewajarnya susulan siasatan polis mendapati tiadanya unsur buli dalam insiden berkenaan.
Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata siasatan lengkap mendapati murid lelaki terbabit tergunting lidahnya ketika sedang leka bermain dengan gunting tajam itu yang dipinjam daripada rakan sekelasnya.
Sehubungan itu, Abdul Samah berkata kes berkenaan dianggap selesai kerana murid itu bukannya dibuli sebaliknya mengalami kecederaan akibat kecuaian sendiri.
Menurut Zainuren, JPN Selangor juga akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi membantu murid berkenaan berpindah sekolah sekiranya ibu bapanya tetap berhasrat demikian. – BERNAMA